‘Meroboh’ tembok istana - Utusan Malaysia

‘Meroboh’ tembok istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 1 Jan. – Walaupun dianjurkan setiap tahun, namun Kembara Mahkota Johor (KMJ) sentiasa dinanti-nantikan rakyat negeri ini kerana setiap edisi penganjurannya mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri.

Edisi ke-21 yang berlangsung baru-baru ini turut meriah walaupun dianjurkan secara sederhana seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam penganjuran pada tahun-tahun sebelum ini, KMJ 2018 tetap menjelajah kesemua 10 daerah di negeri ini dan Sultan Ibrahim serta kerabat diraja berkenaan beramah mesra, me­lakukan pelbagai aktiviti bersama rakyat jelata serta acara sukan yang dilaksanakan.

Nyata KMJ yang diilhamkan oleh Sultan Ibrahim sejak dimulakan kira-kira 20 tahun lalu semasa baginda dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor mencapai matlamatnya dalam ‘meroboh’ tembok istana bagi mendekatkan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga diraja dengan rakyat jelata.

Malah di setiap hentian sepanjang penjelajahan sejauh 777 kilometer selama tiga hari KMJ 2018 berlangsung, keha­diran Sultan Ibrahim yang segak dan mesra bersalaman dengan rakyat sentiasa menjadi tum­puan ramai.

Tidak ketinggalan keramahan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang tanpa segan-silu untuk bersama-sama memasak pelbagai jenis juadah serta menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Kehadiran putera dan puteri serta menantu baginda turut menyerikan majlis apatah lagi tidak kekok untuk bersama menyertai pelbagai acara yang dianjurkan sempena KMJ 2018.

Malah Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, barisan Exco serta pegawai kerajaan negeri turut memudahkan rakyat me­nyampaikan permasalahan dan suara hati mereka secara terus kepada mereka dalam program tersebut.

Nyata usaha berkenaan bo­leh diibaratkan seperti serampang dua mata, merapatkan hubungan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata serta memperkukuhkan tahap perkhid­matan agensi kerajaan khusus­nya di negeri ini.

Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (CLC) negeri turut serta bagi memeriahkan kembara berkenaan dan mengadakan pameran serta aktiviti di hentian sepanjang laluan penjelajahan untuk memberi maklumat serta bantuan kepada orang ramai.

Justeru, kejayaan KMJ 2018 pasti memberi cetusan idea baharu untuk penganjuran KMJ 2019 yang lebih berjaya pada tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN