JOHOR BAHRU – Kehadiran ‘Spiderman’ yang menunggu di pintu masuk Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Pasir Gudang di sini, cukup menceriakan murid-murid khususnya dari tahun satu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini.
Selain Spiderman, ‘Upin’ dan ‘Ipin’ serta maskot rasmi makanan segera, Marrybrown dan Chipmunk yang menunggu ketibaan para murid sejak pukul 12 tengah hari bagi sesi persekolahan sebelah petang turut membuatkan ibu bapa turut teruja.
Kostum adiwira dan maskot yang dipakai sukarelawan dari Kolej Komuniti Pasir Gudang itu menarik minat sebahagian murid dan ibu bapa untuk bersalaman serta bergambar dengan mereka.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Abdul Nasir Sabran berkata, penggunaan maskot yang bertujuan menceriakan murid ke sekolah khususnya murid tahun satu sudah dilakukan sejak 2015 antaranya membabitkan karakter Mickey Mouse.
“Dari pemerhatian kita, anak-anak terutamanya yang mahu memasuki tahun satu akan risau ke sekolah tetapi apabila mereka melihat maskot, mereka akan lupa seketika kerisauan atau rasa takut lalu bertukar gembira. – Bernama










