LIPIS 18 Jan. – Calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran berkata, beliau sudah melawat lebih 50 peratus pengundi membabitkan kedua-dua kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai.
Manogaran berkata, semua jentera parti PH telah bekerja keras untuk kemenangan, sekaligus merampas kerusi Parlimen itu yang selama ini dikuasai Barisan Nasional (BN).
“Sebenarnya kita telah mula bertemu pengundi sebelum hari pencalonan lagi, ini adalah kerja-kerja berterusan saya.
“Peratusan yang tepat saya tidak tahu tapi saya telah jumpa lebih 50 peratus pengundi termasuklah masuk ke kawasan pedalaman dan usaha ini akan diteruskan untuk tujuh hari lagi hingga hari pengundian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra di Pasar Pagi Kuala Medang di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










