Manogaran kecewa tempahan dewan dibatalkan - Utusan Malaysia

Manogaran kecewa tempahan dewan dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS 18 Jan. – Calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran kecewa kerana tempahan Dewan Orang Ramai Tringkap di sini untuk program makan malam bagi mengumpul dana untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dibatalkan pada saat akhir.

Menurutnya, pihaknya mendapat makluman mengenai pembatalan tempahan tersebut daripada pihak yang menguruskan dewan pada tengah malam tadi dengan alasan dewan berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

“Ia alasan yang tidak munasabah sama sekali. DAP pernah menggunakan dewan ini untuk kegunaan politik pada tahun 2013 dan Barisan Nasional (BN) juga turut menggunakan dewan ini untuk tujuan sama sebelum ini.

“Saya sangat kecewa. Program makan malam itu merupakan satu program amal bagi mengumpul dana bagi kempen PRK ini dan saya percaya pembatalan ini ada kaitan dengan campur tangan pihak lain dipercayai kerajaan negeri yang diterajui BN,” katanya di sini hari ini.

Manoharan berkata program yang akan diadakan pada malam esok itu yang melibatkan kira-kira 550 orang terpaksa dipindahkan ke tempat lain sekiranya pengurusan dewan berkeras untuk tidak membenarkannya.

Beliau kecewa kerana masih ada golongan yang berfikiran sempit di zaman kerajaan baharu PH.

“Ini dewan orang ramai dan sesiapa sahaja boleh menggunakannya dengan apa tujuan sekali pun. Pihak pengurusan perlu faham, ramai peserta program ini merupakan penduduk di sini termasuk warga emas dan ini merupakan satu-satunya dewan yang terdapat di Tringkap ini.

“Sekiranya lokasi ditukar ke tempat lain, ia akan menyusahkan mereka untuk datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×