Manogaran kecewa tempahan dewan dibatalkan saat akhir - Utusan Malaysia

Manogaran kecewa tempahan dewan dibatalkan saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS – Calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran meluahkan rasa kecewenya apabila tempahan dewan untuk program makan malam bagi mengumpul dana bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Manogaran berkata, pihaknya mendapat makluman pembatalan tempahan tersebut daripada pihak yang menguruskan dewan tersebut pada tengah malam tadi dengan alasan dewan berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

“Ia alasan yang tidak munasabah sama sekali. Parti DAP pernah menggunakan dewan orang ramai di pekan Tringkap ini untuk kegunaan politik pada tahun 2013 dan Barisan Nasional (BN) juga turut menggunakan dewan ini untuk tujuan sama sebelum ini.

“Saya sangat kecewa. Program makan malam itu merupakan satu program amal bagi mengumpul dana kempen PRK ini dan saya percaya pembatalan ini ada kaitan dengan campur tangan pihak lain dipercayai kerajaan negeri yang diterajui BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas di dewan orang ramai di Tringkap di sini hari ini.

Tambah Manogaran, pihaknya kesal program yang akan diadakan pada malam esok itu melibatkan kira-kira 550 orang terpaksa dipindahkan ke tempat lain sekiranya pengurusan dewan berkeras untuk tidak membenarkannya.

“Pada zaman Malaysia Baharu ini masih ada golongan yang berfikiran sempit seperti ini. Ini dewan orang ramai dan sesiapa sahaja boleh menggunakannya dengan apa tujuan sekali pun.

“Pihak pengurusan perlu faham, ramai peserta program pada malam esok merupakan penduduk di sini termasuk warga emas dan ini merupakan satu-satunya dewan yang terdapat di Tringkap. Sekiranya lokasi ditukar ke tempat lain, ia akan menyusahkan mereka untuk ke sana,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×