"Mana ada kita caj pesakit RM15,000 sehari" - HSNZ - Utusan Malaysia

“Mana ada kita caj pesakit RM15,000 sehari” – HSNZ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 18 Jan. – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini membuat penafian terhadap dakwaan kononnya seorang pesakit lelaki dikehendaki membayar RM15,000 sehari bagi menjalani rawatan di hospital berkenaan sebagaimana tular di laman sosial baru-baru ini.

Pengurusan HSNZ dalam satu kenyataan berkata, kos bagi rawatan Factor VIII yang dimuatnaik pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Rilex Brader Hehe membabitkan seorang rakannya itu juga disifatkan tidak benar sama sekali.

“Pihak HSNZ mengesahkan yang pesakit tersebut mendapat rawatan di HSNZ namun, pihak hospital tidak pernah memintanya membuat bayaran bagi rawatan Factor VIII.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan terhadap perkara ini, ia boleh dikemukakan terus kepada pihak hospital melalui pegawai perhubungan awam HSNZ di talian 09-6212121 sambungan 2948,” katanya di sini.

Baru-baru ini, dalam perkongsian dengan Kumpulan Kami Dak2 Pekan Pahang di laman Facebook, Rilex Brader Hehe meminta ahli kumpulan itu membantu membiayai kos rawatan Mohd. Nasir Muda yang menderita penyakit hemofilia.

Mesej tular itu memaklumkan bahawa kos rawatan Mohd. Nasir adalah sebanyak RM15,000 sehari untuk membeli Factor VIII bagi mengawal dan mencegah pendarahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×