KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren memberi kemenangan percuma kepada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho pada separuh akhir kejohanan badminton Malaysia Masters apabila terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan.
Daren mengakui, kecederaan tapak kaki kiri yang dialami ketika beraksi di peringkat suku akhir semalam nyata membuatkan dia sukar untuk melakukan pergerakan, sekali gus meleburkan hasratnya melangkah ke perlawanan akhir.
Justeru, Daren memohon maaf kepada semua penonton yang hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepadanya selain menggesa penyokong tempatan supaya terus menyokong pemain-pemain negara.
“Kecederaan ini mungkin berpunca daripada perlawanan semalam, namun tidak terasa sangat kerana badan masih panas pada waktu itu. Bagaimanapun, selepas bangun pagi hari ini, saya rasakan tapak kaki sangat sakit sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan.
“Saya cuba memanaskan badan sebentar tadi tetapi masih tidak boleh melakukan pergerakan yang selesa. Agak kecewa dengan kecederaan ini, namun dalam sukan ia tidak boleh dielak,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena hari ini.
Memandangkan kecederaan itu merupakan kecederaan baharu, Daren mungkin terpaksa menarik diri daripada kejohanan Indonesia Masters yang akan bermula Selasa ini bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Tidak pasti lagi sama ada saya akan pergi ke Indonesia Masters ataupun tidak. Sekiranya tidak ke Indonesia, saya akan lakukan pemeriksaan lanjut Isnin ini, diharapkan kecederaan ini tidak terlalu serius,” ujarnya.
Hasil keputusan Daren menarik diri daripada aksi separuh akhir hari ini, Wan Ho sah melayakkan diri ke perlawanan akhir dan hanya menanti lawan sama ada Viktor Axelsen ataupun Chen Long yang akan membuat perhitungan sekejap lagi. – K! ONLINE










