LONDON 1 Jan. – Kota London menutup tirai 2018 dengan jolokan ‘tahun berdarah’ dalam tempoh sedekad apabila menyaksikan lebih 130 kes pembunuhan berlaku di seluruh ibu kota ini.
Mail Online melaporkan, kira-kira 134 kes jenayah pembunuhan melibatkan senjata tajam dan senjata api disiasat pasukan polis London, Scotland Yard sepanjang tahun dan jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak 2008.
Pasukan polis bertungkus-lumus membendung kemunculan kira-kira 180 kumpulan yang mencetuskan insiden keganasan di seluruh London, selain menyaksikan penglibatan golongan muda.
Selain itu, lebih 70 kematian sepanjang tahun lalu diakibatkan oleh kecederaan daripada pisau dan senjata api.
Sebanyak 72 kematian melibatkan penggunaan pisau, 13 ditembak mati dengan pistol dan satu kes pembunuhan membabitkan kedua-dua senjata.
Kes pembunuhan di London memuncak pada Februari lalu dengan sebanyak 15 kes melebihi 11 kes di New York.
Daerah Greenwich dan Southwark mencatat kes pembunuhan tertinggi di London dengan purata tiga orang dibunuh dalam setiap 100,000 populasi.
Bulan Februari dan Mac tahun lalu pula menyaksikan sebanyak 16 serta 21 orang maut dibunuh dan tempoh terpanjang tanpa sebarang kes pula dicatatkan selama 16 hari antara 25 September hingga 10 Oktober.
Daripada dua per tiga jumlah mangsa, seramai 44 orang berusia 16 hingga 24 tahun dengan 10 daripadanya mati ditembak dan 32 ditikam dengan pisau.
Sementara itu, polis giat melakukan siasatan berhubung kes tikaman di stesen tren Manchester sehingga menyebabkan tiga orang cedera termasuk seorang pegawai polis semalam.
Insiden berlaku kira-kira pukul 8.50 malam waktu tempatan dan suspek ditahan bagi membantu siasatan. – REUTERS/AGENSI









