KOTA BHARU 29 Jan. – Seorang lelaki bernasib baik terlepas daripada maut apabila tig das tembakan ke arahnya tersasar dalam kejadian Kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu dikatakan berpunca daripada sikap lelaki itu yang berang dan memecahkan lima pintu bilik sebuah hotel di pekan tersebut untuk mencari isterinya berusia lingkungan 30-an dipercayai bersembungi di situ.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, selepas gagal menemui isterinya, lelaki yang berusia 47 tahun itu dikatakan masuk ke dalam kereta jenis Mercedes miliknya untuk ke rumah rakannya.
Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba tiga beradik berusia 22 sehingga 26 tahun yang menjaga tempat letak kereta hotel itu dengan bersenjatakan kayu besbol dan parang menyerang lelaki tersebut.
“Mangsa kemudian masuk ke dalam keretanya untuk mengambil sebilah parang. Salah seorang daripada penyerang kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dan mengenai kereta Mercedes itu.
“Mangsa cuba melarikan diri dengan keluar dari kenderaan namun suspek mengugut akan menembaknya sekiranya meneruskan hasrat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, lelaki itu kemudiannya dipukul dengan kayu besbol dan pistol sebelum ketiga-tiga penyerang beredar meninggalkan kawasan itu.
Difahamkan lelaki itu bernasib baik kerana pistol tersebut dikatakan tersekat sehingga menyebabkan salah seorang penyerang tidak dapat melepaskan tembakan berikutnya.
Semalam Utusan Online melaporkan, penduduk di sekitar kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang, digemparkan dengan tiga das tembakan yang dilepaskan di kawasan terbabit. – UTUSAN ONLINE










