Lelaki Aceh dipenjara lapan bulan jual rokok seludup - Utusan Malaysia

Lelaki Aceh dipenjara lapan bulan jual rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas seorang peniaga kerana memiliki 3,480 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM323.04, 2 Januari lalu.

Andika Razali, 29, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff.

Hakim memerintahkan tertuduh yang berasal dari Aceh, Indonesia itu menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh dia ditangkap iaitu 2 Januari.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan larangan import iaitu 192 paket rokok daripada 11 jenama berbeza di bahu jalan, Jalan TK 4/1, Puchong pukul 7.10 malam, 2 Januari lalu.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes,  pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat serbuan ke atas seorang lelaki warga Indonesia di bahu jalan Jalan TK 4/1, Puchong.

Ketika serbuan, lelaki itu didapati membuka meja dan menjual pelbagai jenis rokok sebelum ditahan bagi pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JKDM  Khairunnisa Ibrahim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama. – K ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN