PETALING JAYA: Kegagalan menangani kelewatan bekalan baja kepada pesawah boleh terus menekan pengeluaran padi tempatan dan merendahkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara, sekali gus meningkatkan kebergantungan Malaysia terhadap import.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, risiko itu semakin ketara apabila SSR beras negara terus menurun sehingga menyebabkan jurang antara pengeluaran tempatan dan keperluan pengguna terpaksa ditampung melalui import.
Menurutnya, kelewatan bekalan baja tidak boleh dianggap sebagai isu kecil kerana ia merupakan antara input asas yang menentukan produktiviti tanaman padi.
“Apabila pengeluaran padi tempatan tidak dapat ditingkatkan atau mengalami penurunan, jurang antara pengeluaran domestik dengan keperluan penggunaan perlu ditampung melalui import.
“Setiap musim yang gagal meningkatkan produktiviti bermakna kita kehilangan peluang untuk mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pada 13 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan keluhan petani di kawasan MADA yang berdepan masalah kelewatan pembekalan baja tambahan meskipun ada usia tanaman padi kini sudah menjangkau 80 hari.
Mengikut kitaran tanaman, baja sebatian tambahan atau dikenali baja tiga sepatutnya diberikan sekitar umur tanaman 40 hingga 45 hari atau paling lewat sekitar 60 hari.
Menurut Abdul Rashid, keadaan itu juga boleh menyukarkan usaha kerajaan meningkatkan SSR beras negara kepada 80 peratus sekiranya masalah di peringkat sawah terus berulang.
Beliau berkata, baja yang tidak sampai mengikut jadual terutama pada peringkat pembajaan kritikal boleh menjejaskan pertumbuhan pokok dan pembentukan hasil.
Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku berulang kali setiap musim, produktiviti sehektar dan pendapatan pesawah boleh menurun dan memberi kesan kepada jumlah pengeluaran padi negara.
“Kalau kita mahu SSR meningkat, jangan hanya kita tetapkan sasaran kepada angka SSR. Sebaliknya, kita mesti menyelesaikan masalah di peringkat sawah.
“Keterjaminan makanan negara akhirnya bermula daripada kemampuan pesawah untuk menghasilkan padi yang mencukupi, berkualiti dan berdaya maju secara konsisten,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, jumlah beras yang diimport juga perlu dikawal berdasarkan keperluan sebenar bagi mengelakkan lambakan yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pengeluaran domestik.
Katanya, pendekatan lebih selamat adalah dengan memperkukuhkan pengeluaran dalam negara termasuk meningkatkan infrastruktur serta memastikan pesawah memperoleh input asas seperti baja, benih, bekalan air dan kemudahan mekanisasi pada masa diperlukan.
Beliau berkata, sistem pembekalan input juga perlu diperkemas dengan mengambil kira prestasi dan hasil kawasan sawah, bukan hanya memberi tumpuan kepada proses pembekalan semata-mata. – UTUSAN










