INDUSTRI seni Nusantara pada akhir 90-an hingga awal 2000-an menunjukkan sebuah landskap segar yang dijelmakan penyanyi wanita daripada kedua-dua negara. Malaysia dan Indonesia tidak hanya mempunyai penyanyi solo wanita dengan julat vokal yang luas, malah masing-masing mempunyai identiti muzik dan imej tersendiri menyebabkan mereka mudah diingati.
Kedua-dua negara seperti saling mendepa tangan, memberi ruang untuk bakat-bakat wanita ini dikongsikan di tanah berbeza. Nama-nama diva seperti Krisdayanti, Titi DJ dan Ruth Sahanaya mula menjadi kesayangan orang di Malaysia dengan lagu pop balada sarat emosional. Begitu juga Ning Baizura, Datuk Sheila Majid apa lagi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berjaya mencatat jualan album sehingga 500,000 unit di Indonesia.
Pasaran kita lebih terbuka, artis-artis berbakat mula disandingkan di pentas serupa, baik program televisyen atau anugerah berprestij, diikuti siri kolaborasi silang negara. Kita tidak pernah menganggap semua ini sebagai perbandingan tetapi tuah yang diraikan.
Mengenang kembali memori di era itu, Krisdayanti, Titi DJ dan Ruth Sahanaya bersyukur kerana pertemuan yang bermula untuk projek seni menemukan mereka dengan persahatan sejati bersama bintang-bintang di Malaysia.
“Saya dan Titi DJ lebih seangkatan dengan Sheila Majid. Kami sering terlibat dalam festival muzik Jazz saya mewakili pihak label rakaman Aquarius Musikindo dan Shiela EMI. Jadi, sering bertemu.
“Kami sangat seronok menjadi peranan tuan rumah kalau ke negara masing-masing. Kalau setiap kali ke Kuala Lumpur, pasti Sheila akan ajak makan Nasi Lemak Antarabangsa, tauhu di Jalan Alor, durian dan Nasi Kandar,” kata Ruth.
Bagaimanapun, penyanyi popular Bahasa Kalbu ada cerita yang lucu kalau bercerita tentang artis asal Malaysia. Rupanya Titi DJ pernah mewakili Indonesia ke pertandingan Ratu Cantik Dunia secara senyap-senyap jauh sebelum bertemu Sheila atau Siti Nurhaliza. Kenangan awalnya bersama artis Malaysia rupanya bersama Tan Sri Michelle Yeoh.
“Saya adalah Miss Indonesia ‘haram’ terakhir yang pergi ke pertandingan senyap-senyap. Selepas saya barulah ada pertandingan rasmi khusus untuk pilih wakil negara.
“Waktu itu ikut Miss World di London. Sengkatan saya itu ialah Michelle Yeoh dan Maggie Cheung. Kerana semasa di sana, kami para gadis dari Asia selalu kumpul bersama termasuk Miss Malaysia, Miss Singapura, Miss Hong Kong, Miss Filipina. Masing-masing sangat cantik dan hebat.
“Saya ada kesempatan bertemu Michelle Yeoh semasa dia ke Indonesia baru-baru ini. Saya sempat bertanya adakah dia masih ingat saya? Dia kata sudah tentu,” katanya.

Lain pula cerita penyanyi dan atlet Wushu, Krisdayanti menceritakan persahabatannya bersama Siti Nurhaliza yang disifatkannya sebagai ‘lebih dari seorang kawan’.
“Kami sebelumnya sudah saling jumpa bersama artis lain juga seperti Ning Baizura. Cuma yang lebih mengeratkan ketika saya dan Siti mengusahakan album CTKD (Canda, Tangis, Ketawa, Duka).
Itu sangat menyenangkan ya, kerana kami jadi bertukar peranan kadang dia ke sini, atau saya ke sana.
“Kami muncul dalam industri pada tempoh waktu yang sama tahun 1998, usia juga tidak jauh beza mungkin sekitar empat hingga lima tahun. Jadi, kami hadapi cabaran sebagai penyanyi yang lebih kurang sama. Kami rupanya ada banyak persamaan iaitu suka makanan sama, sukan sama dan lebih kelakar, hari lahir suami kami juga sama.
“Dia teman ‘curhat’ (curahan hati) saya. Ketika saya bercerai di perkahwinan pertama, Siti banyak bersama dan menghibur saya. Kami memang cukup rapat,” katanya yang berpisah dengan suami, Anang Hermansyah pada 2009.
Semangat setia kawan dan sokongan itu dizahirkan apabila Sheila dan Siti sama-sama hadir dan membantu mempromosikan konsert perdana gabungan mereka menerusi Konsert 3 Diva di Malaysia pada 2007.

Kembali dengan ‘timeless’
Mengimbas kembali memori itu, ketiga-tiga legenda itu terkenang kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke konsert mereka.
“Itu yang paling kami ingat. Tun Mahathir sempat datang ke belakang tabir dan memberikan pujian yang cukup tinggi. Beliau menyamakan persembahan kami bertiga setaraf dengan konsert-konsert hebat di Las Vegas,” ujar Krisdayanti yang menyifatkan pujian itu sebagai penghargaan besar.
Selepas hampir dua dekad, ketiga-tiga diva ini berhasrat untuk menyapa peminat di Malaysia yang sekian lama berhasrat meminta mereka kembali ke pentas bersama di Malaysia. Mereka bakal hadir dengan konsert 3Diva Live in Malaysia 2026 (Timeless) di Unifi Arena, 22 November ini. Mereka membawa konsep ‘Timeless’ yang menjanjikan tampil dengan ‘wajah’ yang lebih segar.
Menurut Titi DJ, mereka kini bekerjasama dengan dua pengarah muzik muda yang berbakat besar, Rico dan Samuel Song. Sentuhan anak muda ini bakal memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu malar segar mereka tanpa menghilangkan identiti asal.
“Kami akan membawakan sekitar 30 judul lagu dalam 23 segmen produksi. Susunan muzik akan lebih moden, ada elemen jazz, rock, malah mungkin ada sedikit kejutan genre yang sedang tular sekarang. Kami mahu penonton daripada generasi Z juga dapat menikmati kualiti muzik kami,” jelas Titi.

Ruth Sahanaya atau lebih mesra disapa Uthe pula menambah, cabaran terbesar mereka adalah menyatukan harmoni vokal dalam bentuk trio. Walaupun masing-masing adalah penyanyi solo yang hebat, apabila di atas pentas 3 Diva, ego diketepikan demi sebuah simfoni yang sempurna.
“Kami kerap dipertemukan dalam pentas yang sama kadang di acara majlis korporat, festival atau jemputan menyanyi di acara eksklusif. Jadi kami sudah sangat selesa bernyanyi bersama bahkan sudah ingat bahagian masing-masing secara automatik.
“Mungkin tubuh dan ingatan kami sudah terbiasa sehingga kadang kala apabila muzik dibunyikan kami akan automatik bernyanyi bersama walau ketika itu kami bertiga sedang bersolek dan tidak menatap antara satu sama lain,” cerita Ruth.
Ditanya mengenai rahsia kekal relevan dalam industri yang kini didominasi netizen dan media sosial, jawapan mereka cukup ringkas iaitu adaptasi dan disiplin.
“Kita harus beradaptasi dengan trend sekarang, tetapi tanpa mengurangkan karakter masing-masing. Kami juga sangat menjaga disiplin. Kami tidak merokok, tidak mengambil alkohol, dan sangat aktif bersukan. Itu kunci kekuatan vokal kami,” kongsi Ruth.
Bersyukur dengan peluang yang masih diberikan walaupun masing-masing sudah melewati usia 50 hingga 60-an, Krisdayanti berkata, mereka bertiga tidak pernah menganggap nama mereka sudah benar-benar kuat.
“Ini semua bukan sekadar keistimewaan, tetapi gelaran 3Diva yang diberikan peminat juga adalah beban tanggungjawab yang kami harus pikul untuk memberikan sesuatu yang lebih baik dalam karya.
“Kami berusaha menjaga standard, Insya-Allah,” celah Krisdayanti menutup temu bual.










