Lebih 10,000 kes kemalangan berpunca guna tayar celup - Utusan Malaysia

Lebih 10,000 kes kemalangan berpunca guna tayar celup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini adalah berpunca daripada penggunaan tayar celup, menurut Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) itu adalah satu angka yang mengejutkan apabila jumlah kemalangan yang dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup itu.

Katanya, selain itu kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini. 

“Saya sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun iaitu 365 hari bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.

“Bagi saya, perkara ini, kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar celup tidak selamat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah. – Bernama
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN