Larangan merokok: 22 notis dikeluarkan - Utusan Malaysia

Larangan merokok: 22 notis dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 1 Jan. – Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengeluarkan 22 notis amaran di tempat makan setakat pukul 3 petang hari pertama penguatkuasaan kawasan larangan merokok, hasil lawatan ke 319 premis.

Dr. Sahruddin Jamal
Dr. Sahruddin

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 957 risalah dan nasihat individu turut diberikan.

Pada masa sama, pihak jabatan kesihatan turut mempergiatkan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di kawasan larangan merokok yang lain.

“Adalah diharapkan, dengan perluasan kawasan larangan merokok ini, masyarakat dapat menolak budaya merokok di khalayak ramai dan semakin ramai perokok akan berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, perkhidmatan berhenti merokok turut disediakan di klinik kesihatan di seluruh Negeri Johor atau mereka boleh melayari halaman http://jomquit.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga sudah memulakan kempen larangan merokok di tempat makan sejak bulan lalu melalui advokasi dengan pihak kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, persatuan penjaja dan peniaga selain meningkatkan kesedaran orang ramai melalui media sosial dan radio.

“Justeru, kita menyeru semua pihak supaya dapat bersama-sama berganding bahu dalam memastikan peraturan ini dapat dipatuhi bagi memastikan Johor Bebas Asap Rokok,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Notis
 
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×