KETIKA kaki melangkah masuk ke Lads & Lassies yang terletak di Jalan Ampuan Zabedah J9/J, Shah Alam, Selangor, hati terus menjadi tenang.
Suasana kafe yang dilatari irama muzik Barat era 1990-an, tidak ubah seperti kafe jalanan di Eropah.
Jika kebanyakan kafe yang ditemui bersifat terlalu eksklusif, tetapi tidak bagi Lads & Lassies yang kelihatan lebih mesra pengunjung.

Pengasasnya, Mohamed Danial Mohamed Saini, 30, berkata, dia memilih konsep jalanan serta santai dan dalam masa yang sama, menekankan ‘good food, good music’.
Lagu-lagu yang diputarkan di kafe itu lebih kepada ‘membuai’ perasaan pengunjung yang sedang menikmati makanan.
Sehubungan itu, Lads & Lassies dilihat sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa sambil menjamu selera.
Selain terdapat ruangan membaca dengan pelbagai koleksi bahan bacaan disediakan, kafe itu turut menempatkan ruangan beserta alat permainan untuk kanak-kanak bermain.
“Kafe ini mungkin nampak ranggi, tetapi sesuai untuk seisi keluarga.
“Malah sejak ditubuhkan pada 2014, kebanyakan pelanggan terdiri daripada keluarga, selain individu yang datang bersama rakan,” katanya.
Menurut Mohamed Danial yang memiliki Diploma Perniagaan dan Pemasaran Antarabangsa dari Universiti Taylors, idea untuk mengaplikasikan konsep kafe Lads & Lassies diperoleh menerusi pengalamannya mengembara di Eropah.
Biarpun keseluruhan kafe ‘bermain’ dengan rona gelap, namun susun atur perabut yang kebanyakannya dibina sendiri serta koleksi peribadi seperti miniatur kereta yang dipamerkan, menonjolkan lagi nilai-nilai eksklusif pada kafe tersebut.
Sudut kosong di kafe itu pula dihiasi dengan aksesori antik seperti telefon, jam dan kipas lama, sekali gus membangkitkan suasana klasik dan romantis.
Berhampiran pintu masuk, dinding-dinding di sebelah kiri dipenuhi dengan coretan tulisan tangan termasuk daripada selebriti seperti Pak Nil, Shamsul Ghau Ghau dan Kila Fairy.
“Asalnya, saya suka-suka ‘menconteng’ dinding sebagai salah satu cara untuk meluahkan ekspresi seni.
“Tetapi sekarang, dinding itu sudah jadi ‘wall of selebrity’ apabila ada selebriti yang singgah makan di kafe ini, meninggalkan coretan dan tandatangan di situ.
“Itu antara tarikan yang terdapat di kafe ini. Pengunjung yang datang bukan sahaja menikmati makanan dan muzik, tetapi juga segala yang dipamerkan di kafe ini,” katanya.
Mengulas mengenai menu, Mohamed Danial berkata, pihaknya menghidangkan gabungan masakan barat dan tempatan.
Antara yang menjadi pilihan ialah Philly Cheese Steak iaitu daging cincang yang dihidang dengan roti hot dog dan nachos bersama keju cheddar cair serta keju biru buatan sendiri.
Bagi yang menggemari pasta, Salted Egg Pasta With Crispy Soft Shell Crab iaitu spageti olio yang disalut dengan telur masin dan dihidangkan dengan ketam rangup yang pedas merupakan menu istimewa kafe tersebut.
Menu pilihan lain ialah Sloppy Blue Cheese iaitu burger ayam atau daging lembu yang disertakan dengan kepingan daging lembu salai, keju cheddar cair dan sos keju biru.
Manakala untuk pelanggan yang masih tidak boleh ‘lari’ daripada nasi, Butter Chicken Rice merupakan pilihan terbaik iaitu nasi dihidangkan dengan ayam masak mentega berkrim dan pedas serta sayur campur.
Merangkap cef di kafe itu, katanya, kebanyakan menu diciptanya sendiri.
“Saya mula memasak sejak berusia lapan tahun dan sering mencipta menu sendiri,” tambahnya.
Selain keju biru, pihaknya juga menghasilkan ramuan lain seperti karamel untuk kopi, soda dan sos coklat.
Sesuai dengan konsepnya, Lads & Lassies yang dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam, ada kalanya menganjurkan persembahan muzik secara langsung.
Hanya pada hari Jumaat dan Sabtu, waktu operasinya dilanjutkan sehingga 1 pagi.










