Kualiti bakat Mentor 7 - Utusan Malaysia

Kualiti bakat Mentor 7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEKALKAN kemantapan vokal dan tunjuk ajar mentornya, penyanyi Siti Nordiana yang tidak mengenal erti penat lelah, kehidupan seorang pekerja restoran makanan segera dari Alor Setar, Kedah berubah sekelip mata. Ahad lalu, Zaaim, 28, diangkat sebagai juara program realiti, Mentor musim ketujuh atau Mentor 7.

Pada malam tersebut, Zaaim mengenepikan saingan sengit daripada protege Aizat iaitu Pasya. Pemilik nama sebenar Zaaim Abdullah itu telah menggegarkan Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor dengan nyanyian bertenaga menerusi lagu Gemuruh (duet bersama Lan Solo) dan cemerlang melunaskan tugasan solo menerusi lagu Bukan Rayuan Gombal.

Ironi, Zaaim tampak sedikit gugup apabila diwawancara wakil media kerana langsung tidak menjangkakan kemenangannya. Baginya, saingan daripada finalis lain termasuk Azmirul dan Ranisha begitu hebat.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Kejayaan tidak akan berlaku tanpa tunjuk ajar mentor iaitu Kak Nana (panggilan untuk Siti Nordiana) dan sokongan daripada penonton. Tidak lupa, saya dedikasikan kemenangan buat ibu yang turut hadir menonton persembahan,” katanya.

Menurut Zaaim lagi, berlaku sedikit percanggahan idea tentang pemilihan lagu dengan mentornya sebelum konsert berlangsung, namun ia diselesaikan dengan cukup profesional.

“Pada mulanya, saya tidak mahu menyanyikan lagu Bukan Rayuan Gombal, tetapi Kak Nana bertegas dengan keputusannya. Saya akur kerana yakin dengan pilihannya.

“Jika ikut hati, saya mahu menyanyikan lagu balada seperti Sumpah Cintaku nyanyian asal Asfan Shah atau lagu klasik seperti Azura (nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah). Apapun, saya amat bersyukur dapat terlibat dalam Mentor 7 dan bergelar pemenang,” terangnya.

Harapan Zaaim

Selepas bergelar juara Mentor 7, Zaaim hanya mahu lakukan yang terbaik kerana sedar bahawa realiti kehidupan seorang anak seni bukannya mudah.

“Saya tahu tidak semua juara bernasib baik dalam industri sebenar selepas ini. Biarpun begitu, saya akan terus menyanyi dan mengharapkan yang terbaik.

“Dari segi muzik, saya mahu merakamkan lagu berentak rock balada yang sesuai dengan vokal,” kongsinya.

Sementara itu, sebagai mentor, Siti Nordiana cukup berbangga dengan pencapaian protegenya yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan sepanjang Mentor 7.

“Mulanya Zaaim amat pemalu. Dia selalu ‘sesat’ atas pentas, namun berkat semangat dan niat untuk berjaya, dia menjadi juara.

“Banyak perkara yang perlu dipelajarinya termasuk seni menjawab soalan daripada wartawan, komunikasi dan penampilan diri. Insya-Allah, saya akan membantunya sebaik mungkin selepas ini,” tutur pelantun lagu Hatiku Milikmu itu.

Mengulas lanjut, Nana memuji kualiti vokal yang dimiliki protegenya. Katanya, vokal Zaaim amat unik dan bersesuaian untuk menyanyikan pelbagai genre lagu.

“Sepanjang program ini berlangsung, Zaaim sudah menunjukkan kemampuannya menyanyikan pelbagai jenis lagu seperti lagu irama Malaysia, Hindi, rock dan balada.

“Saya yakin dia mampu pergi jauh asalkan bersedia untuk menerima teguran dan terus belajar. Satu perkara yang selalu dinasihatkan adalah sentiasa merendah diri dalam apa sahaja keadaan walaupun kita selalu dipuji,” kata Nana.

Dalam lancar membutirkan bicara, Nana turut mengingatkan bahawa Zaaim harus mempersiapkan diri untuk bekerja dengan ramai orang yang memiliki pelbagai ragam dalam industri muzik yang sebenar.

Kualiti Pasya

Jika dihakimi dari segi persembahan, aura Zaaim begitu menonjol. Namun, finalis bernama Pasya yang terpaksa berpuas hati pada tangga naib juara tidak kurang hebatnya.

Mendendangkan lagu ikonik kumpulan Queen berjudul Bohemian Rhapsody (duet bersama Jaclyn Victor), seperti Zaaim, Pasya turut mendapat standing ovation (tepukan berdiri) daripada juri, Datuk Wah Idris dan Mas Idayu.

Mas Idayu sendiri memuji kualiti vokal Pasya. Katanya: “Kalau yang boleh jual suara, saya pilih Pasya. Kalau berdasarkan kepuasan persembahan, itu menjadi milik Zaaim.

“Apa pun, banyak perkara yang perlu diusahakan oleh mereka terutama dari segi penampilan. Begitu juga dengan dua finalis yang lain, Azmirul dan Ranisha.”

Pasya yang gagal memenuhi harapan banyak pihak untuk bergelar juara, bagaimanapun tidak kecewa dengan keputusan konsert akhir. Meskipun tidak menang dia bersyukur kerana diberi peluang untuk menonjolkan bakat dengan bantuan mentornya, Aizat.

“Saya tiada sasaran untuk menang cuma ingin memberikan persembahan yang terbaik. Tidak menang tidak mengapa kerana saya percaya ada rezeki lebih besar menanti,” ujar Pasya atau nama sebenarnya, Faizul Ashraf Fauzi, 24.

Teori sama dipersetujui Aizat sebagai mentor. Aizat yang tidak langsung menunjukkan riak kecewa percaya perjalanan seni Pasya masih panjang.

“Saya dahulu pun tidak menang pertandingan nyanyian, namun kekalahan tersebut bukan alasan untuk tidak terus mencuba.

“Insya-Allah, saya akan membantu Pasya selepas ini untuk terus membina nama, sekali gus mewarnai industri muzik tempatan,” ujar Aizat.

Pekerja restoran makanan segera bersuara emas, Zaaim diangkat sebagai juara program realiti Mentor 7, manakala penyanyi busker, Pasya terpaksa berpuas hati pada tempat kedua. Mereka sedar, cabaran sebenar dalam industri muzik kini baru bermula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN