KPM nafi penerbitan buku teks DLP dibuat secara rundingan terus - Utusan Malaysia

KPM nafi penerbitan buku teks DLP dibuat secara rundingan terus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan bahawa semua penerbitan buku teks Program Dwibahasa (DLP) bagi kegunaan tahun ini terutama membabitkan penerbit swasta dibuat secara rundingan terus.

Pihak kementerian dalam satu kenyataan berkata, perolehan penerbitan buku teks DLP dilaksanakan secara dua kaedah iaitu secara rundingan terus dan tender terbuka.

Menurutnya, penerbitan sebanyak 108,680 naskhah buku teks DLP Tingkatan 3 bagi subjek Sains dan Matematik diuruskan secara tender terbuka.

“Penerbitan dua judul buku teks DLP Tahun 3 iaitu subjek Sains dan Matematik serta buku cetakan semula sebanyak 266,110 naskhah pula telah diberikan secara rundingan terus kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Ini selaras dengan keputusan Majlis Tindakan Negara 1974 di mana DBP dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan buku teks sekolah rendah,” katanya di sini hari ini.

KPM berkata demikian bagi mengulas kenyataan akhbar Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia yang mempertikaikan tindakan Kementerian Kewangan memberi kelulusan khas untuk permohonan perolehan buku teks DLP Tingkatan 3 bagi subjek Sains dan Matematik melalui rundingan terus kepada sebuah syarikat penerbitan buku.

Sementara itu, KPM berkata, siaran media Kementerian Kewangan bertarikh 13 Januari lalu adalah merujuk kepada kelulusannya untuk KPM membuat rundingan secara terus dengan DBP bagi menerbitkan buku teks DLP sekolah rendah baharu dan cetak semula seperti dalam surat kelulusan Kementerian Kewangan bertarikh 18 September tahun lalu.

“Bagi buku teks DLP untuk sekolah menengah, proses penerbitan dibuat secara tender terbuka oleh KPM,” katanya.

KPM berkata, untuk itu, iklan bagi tujuan tender terbuka untuk buku Sains Tingkatan 3 dan Matematik Tingkatan 3 telah dikeluarkan di portal e-Perolehan seperti amalan biasa.

Jelasnya, proses pemilihan tender dijalankan secara telus dengan pembabitan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penilaian Bahan, Jawatankuasa Penilaian Keupayaan Penerbit/Syarikat dan Jawatankuasa Penilaian Harga yang ditawarkan oleh petender.

“Kesemua markah yang diperoleh daripada ketiga-tiga jawatankuasa itu telah dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM dan anggotanya terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya dan tiga setiausaha bahagian dalam KPM. 

“Kesemua proses tender tersebut telah dilaksanakan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya sedang mengambil kesemua langkah yang dirasakan wajar dan perlu bagi membekalkan buku teks DLP sekolah menengah secepat mungkin. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN