WOLVERHAMPTON 8 Jan. – PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp percaya kecederaan yang menimpa tonggak pertahanan, Dejan Lovren seawal minit keenam menjadi punca skuad keduanya tewas 1-2 kepada Wolverhampton sekaligus tersingkir daripada saingan Piala FA, musim ini.
Sambil mempertahankan keputusannya yang membuat sembilan perubahan dalam senarai pemain termasuk menurunkan tiga pemain muda, Klopp berkata, tindakan itu menjadi punca keadaan menjadi terdesak berikutan ketiadaan Lovren.
Bek tengah itu hanya antara dua pemain utama yang diturunkan sebelum mengalami kecederaan hamstring dan kemudiannya digantikan pemain berusia 16 tahun, Ki-Jana Hoever. Seorang lagi pemain utama yang beraksi adalah James Milner.
“Hamstring, itu yang saya diberitahu walaupun tiada tanda-tanda sebelumnya. Saya telah membuat keputusan menurunkan Lovren bersama barisan pemain kedua. Tetapi apabila dia cedera, itu keputusan yang terpaksa saya tanggung.
“Apa saya boleh buat jika tiba-tiba bek tengah adalah Fabinho dan Ki-Jana, malah ada yang tuduh pula saya tidak langsung hormat (pandang rendah) dengan pertandingan (Piala FA) ini,” kata pengendali dari Jerman itu.
Dua gol kemenangan Wolves dihasilkan Raul Jimenez dan Ruben Neves, manakala Divock Origi menyumbat gol tunggal Reds. Selain Ki-Jana, dua lagi pemain muda diturunkan Liverpool ialah Rafael Camacho dan Curtis Jones. – AFP











