KOTA BHARU 18 Jan. – Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan (PKDK) mengadakan majlis kesyukuran sambil mengambil inisiatif mendekati dan meraikan 50 penghuni dari rumah anak yatim Darul Aitam di Dewan Crystal Color Avenue, di sini malam tadi.
Dalam majlis tersebut, keceriaan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim tersebut kerana mereka bukan sahaja diraikan, malah menerima sumbangan zakat daripada PKDK.
Presiden pertubuhan itu, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz berkata, turut diadakan ialah doa selamat kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan seluruh usrah Di Raja Kelantan serta tahlil kepada anggota keluarga yang meninggal dunia.
“Antara pengisian lain ialah solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Muhammadi serta bacaan surah Yassin beramai-ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Online.
Tengku Ramizan dalam pada itu berkata, PDPK menitikberatkan aspek kebajikan rakyat di negeri ini dan sentiasa peka terhadap keperluan asnaf terutama anak-anak yatim yang perlu disantuni sebagaimana dituntut dalam Islam.
“Keprihatinan dan usaha membela kebajikan mereka dilaksanakan kerana kita sedar, anak-anak ini dahagakan kasih selepas kehilangan ibu bapa dan tempat untuk bergantung harap.
“Program seumpama ini juga turut mengeratkan hubungan dalam kalangan anggota PDPK dan kita akan terus bergiat aktif menjalankan aktiviti berbentuk kebajikan sosial serta kemasyarakatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










