KOTA BHARU 4 Jan. – Kelab Mercedes Kelantan mengadakan konvoi khas untuk menyambut Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon dari Lapangan Terbang Narathiwat, Thailand untuk di bawah ke Konsulat Thai di sini semalam.
Sebanyak 15 buah kereta daripada pelbagai model Mercedes-Benz mengiringi Sinsomboon dalam perjalanan sejauh lebih 100 kilometer itu.
Simsomboon memulakan tugas baharu di sini bermula semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden kelab tersebut, Ahamad Jusoh berkata, konvoi tersebut merupakan tradisi pihaknya yang diamalkan sejak dahulu untuk menyambut Konsul Thailand yang baharu.
“Apabila dimaklumkan mengenai ketibaan Konsul baharu, kami mengambil inisiatif untuk menyambut ketibaannya
“Kami mempunyai hubungan yang erat dan sering menganjurkan program bersama seperti rekreasi dan sukan di kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Sinsomboon, berkata, beliau tidak menjangka akan mendapat sambutan sedemian.
“Sambutan ini menunjukan hubungan yang erat di antara kedua-dua negara. Saya amat gembira dan akan berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan erat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE








