Kedai makan 'hilang' 15 peratus pelanggan - Utusan Malaysia

Kedai makan ‘hilang’ 15 peratus pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan yang bermula sejak empat hari lalu ternyata menerima respons positif banyak pihak.

Namun begitu, di sebalik kempen yang diwujudkan bagi menghentikan amalan merokok dalam kalangan rakyat sejajar menuju negara maju menjelang 2020, kesan larangan itu telah mula dirasai pengusaha premis makanan.

Hal ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Datuk Ho Su Mong yang mendakwa pengusaha premis makanan terutama kedai kopi telah kehilangan kira-kira 15 peratus pelanggan dalam kalangan perokok sejak Selasa lalu.

Walaupun tidak dapat memberikan jumlah sebenar kerugian, namun Su Mong merasakan perkara itu akan memberi impak besar sekiranya berlarutan.

“Kedai kopi biasanya menerima 20 hingga 30 peratus pelanggan dalam kalangan perokok, namun selepas larangan merokok ini dilaksanakan, saya melihat jumlah itu menyusut sehingga separuh atau 15 peratus sahaja yang datang.

“Kehadiran pelanggan tidak kira perokok atau tidak sememangnya penting tetapi apabila ramai perokok tidak lagi datang, kita akan mengalami kerugian besar. Saya berharap kesan ini hanya sementara waktu dan mereka akan datang semula nanti apabila sudah dapat menyesuaikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pelaksanaan larangan merokok di premis makanan yang bermula sejak 1 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN