GEORGE TOWN – Jumlah pengunjung ke Bukit Bendera dijangka bertambah 10 peratus tahun ini berbanding kira-kira 1.74 juta tahun lepas susulan pembukaan Stesen Bawah Bukit Bendera (Fasa Tiga) hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah pengunjung tahun lepas itu merupakan yang tertinggi direkodkan Bukit Bendera setakat ini dan dipercayai disumbang oleh penambahbaikan infrastruktur serta tarikan terbaharu ‘The Habitat’ serta lain-lain kegiatan di puncak bukit.
“Sebenarnya rekod bagi 2018 adalah amat mengejutkan apabila kita lihat pada Januari hingga Mac tahun lepas perkhidmatan dihentikan ekoran banjir dan ribut besar pada November 2017 yang memerlukan kerja-kerja pembaikan. Rekod itu dicatatkan untuk operasi kurang daripada 12 bulan kerana lebih dua bulan Bukit Bendera tutup bagi kerja-kerja pembaikan.
“Angka itu sememangnya sangat besar. Dalam tempoh tidak sampai sembilan bulan beroperasi kita pecahkan rekod,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pembukaan Stesen Bawah Bukit Bendera (Fasa Ketiga) oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di sini.
Terdahulu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, beliau percaya Bukit Bendera mampu menjadi sebuah pusat peranginan unggul seperti Genting Highlands. – Bernama










