PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kesal dengan tindakan pihak tertentu menjadikan kes kematian anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang sedang berlangsung.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata selain boleh menimbulkan sentimen perkauman, tindakan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan siasatan dan kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, semua pihak harus membenarkan proses siasatan dan inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib berlangsung dengan lancar tanpa didahului dengan gambaran negatif melalui kenyataan yang mungkin bercanggah dengan bukti atau hasil siasatan yang telah diperolehi.
“Kita tidak setuju dan tidak mahu ia diungkit menjadi satu sentimen untuk memberi gambaran negatif yang boleh menjejaskan perpaduan serta kredibiliti siasatan oleh pihak berkuasa.
“Tindakan sebegitu juga mempunyai implikasi undang-undang dan yang pasti kita tidak mahu kehilangan nyawa seorang pegawai yang ikhlas dan sejujur Muhammad Adib digunakan untuk kepentingan tertentu oleh mana-mana pihak,” katanya mengulas dakwaan ada pihak menggunakan kes itu sebagai bahan kempen pada PRK Parlimen Cameron Highlands. – Bernama










