KUALA LUMPUR 1 Jan. – Sedar Kedah memiliki ramai bakat muda bakal menyinar dalam Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai bulan depan, penyokong Lang Merah mahu persatuan bola sepak negeri itu mengambil langkah serius dalam melindungi mereka.
Malah, ada peminat yang meminta Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) meletakkan klausa pelepasan RM5 juta dalam kontrak pemain, dan menamakan Mohd. Fazrul Danel Nizam, Mohamad Fayadh Zulkifli Amin, Zhafir Yusof serta Hidhir Idris sebagai ‘ubi muda’, iaitu istilah bintang bola sepak yang makin menyinar.
Perpindahan kontroversi Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata memberi kesan besar kepada penyokong Lang Merah yang tidak rela bintang baharu mereka dirembat lagi pada masa akan datang.
Begitupun melihat kepada rekod cemerlang Kedah yang dianggap ‘kilang terbaik’ dalam melahirkan ramai bakat bola sepak tempatan, mereka percaya Akhyar boleh diganti dengan pemain lebih baik sebaik sahaja musim 2019 bermula. – UTUSAN ONLINE










