Inkues Adib: Doktor, pakar forensik antara dipanggil jadi saksi - Utusan Malaysia

Inkues Adib: Doktor, pakar forensik antara dipanggil jadi saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 30 saksi akan dipanggil dalam prosiding inkues kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim bermula 11 Februari depan.

Mereka termasuk enam saksi profesional iaitu melibatkan doktor dan pakar forensik yang merawat serta membedah siasat Muhammad Adib.

Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah berkata, doktor-doktor tersebut adalah dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, pegawai penyiasat kes dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan dipanggil sebagai saksi profesional.

“Saksi lain adalah terdiri daripada anggota bomba, ahli keluarga dan orang awam.

“Kita juga akan menanyangkan rakaman video berhubung kejadian melibatkan Muhammad Adib yang tular sebelum ini dalam prosiding inkues ini,” katanya dalam pengurusan kes inkues itu sebentar tadi.

Koroner Rofiah Mohamad kemudiannya memutuskan bahawa saksi-saksi profesional dan pegawai penyiasat perlu menyediakan penyataan saksi sebelum memberikan keterangan.

Mahkamah turut membenarkan peguam berkepentingan iaitu mewakili keluarga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengemukakan soalan kepada saksi tersebut.

“Ini bagi membolehkan mahkamah memperoleh sebanyak maklumat dalam inkues ini.

“Bagaimanapun, peguam wakil bagi Majlis Peguam dan Pasukan Petugas Khas Kuil Sri Maha Mariamman akan diputuskan pada 31 Januari ini sama ada layak menjadi pihak berkepentingan,” jelasnya.

Mahkamah turut memutuskan prosiding inkues akan berjalan dalam empat sesi selama 44 hari bermula 11 Februari hingga 12 April depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×