PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing dinaikkan sebanyak 6 sen seliter bermula 12 tengah malam ini hingga 25 Januari depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit RON95 dinaikkan kepada RM1.98 berbanding RM1.92 seliter sebelum ini dan RON97 dinaikkan daripada RM2.22 kepada RM2.28 seliter.
Menurutnya, harga diesel turut dinaikkan sebanyak 12 sen seliter iaitu daripada RM2.05 kepada RM2.17 seliter untuk tempoh sama berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kenaikan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia telah menunjukkan trend peningkatan berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Harga bagi petrol RON95 naik daripada AS$60 (RM246.66) kepada AS$63 (RM258.99) setong manakala bagi diesel, harganya naik daripada AS$68 (RM279.55) kepada AS$72 (RM295.99) setong. – K! ONLINE










