LONDON 12 Jan. – Arsenal menerima tamparan hebat untuk bersaing dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris selepas dikejutkan 0-1 oleh West Ham di Stadium London, hari ini.
Jaringan pemain pertahanan, Declan Rice pada minit ke-48 menghukum anak-anak buah Unai Emery, sekali gus menyaksikan mereka keciciran tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea.
Jurang tersebut mungkin mampu menjadi lebih besar andai Blues mengalahkan Newcastle United di Stamford Bridge, awal pagi ini, malah Manchester United juga boleh mengikat mata bersama Gunners jika menewaskan Tottenham esok.
Kemenangan itu bukan sahaja menceriakan Rice yang meledak gol pertama bersama The Hammers, malah memberi makna istimewa buat bekas bintang tengah Perancis, Samir Nasri yang berdepan bekas pasukannya dalam penampilan sulung bersama West Ham. – AGENSI










