KOTA BHARU 9 Jan. – Tiada kata dapat menggambarkan perasaan kumpulan penunggang ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ melainkan rasa syukur yang tinggi apabila visa umrah yang ditunggu-tunggu akhirnya berada dalam tangan.
Ketua kumpulan, Diami Yusoff, 60, berkata, sejak kelmarin (Isnin) mereka dikhabarkan bahawa permohonan visa sudah diluluskan namun pengesahan mengenainya hanya diperoleh semalam.
Diami berkata, seorang usahawan yang juga peminat sukan motosikal berasal dari Kelantan iaitu Datuk Rithsman Mohamed menjadi orang penting yang membantu menguruskan proses mendapat visa dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia di Kuala Lumpur.
“Beliau (Rithsman) yang memaklumkan kepada kami bahawa kelulusan visa yang diterima secara atas talian sudah boleh dicetak.
“Malam tadi beliau tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai untuk berjumpa kami dan turut membawa hadiah kiriman baju dan sepanduk dari Istana Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Beliau bersama dua rakannya Mohd Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadli Ab Rashid, 40, memulakan pengembaraan sejak 3 November lalu dan sudah melalui perjalanan melebihi 10,000 kilometer merentasi Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan motosikal berkuasa 135cc.
Dalam pada itu, Diami berkata, mereka juga sangat berterima kasih kepada pihak Wisma Putra serta kerjasama seluruh pegawai dan keluarga pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Dubai yang telah membantu sejak ‘tersangkut’ di kotaraya ini dari 27 Disember lalu.
“Kami akan menyambung misi kami esok menuju Abu Dhabi dan jika sempat akan terus ke bandar sempadan di Al-Batha sejauh lebih 300 kilometer dari sini sebelum masuk ke Arab Saudi,”katanya. – UTUSAN ONLINE










