KUALA LUMPUR 28 Jan. – Selepas meminjam peraturan kawalan ekonomi La Liga untuk menangani isu kewangan, Liga Malaysia (Liga M) bakal menggunakan kepakaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pula bagi melahirkan pengadil profesional menjelang 2020.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) dengan objektif utama melahirkan pengadil sepenuh masa pertama bermula Julai ini.
PMOM akan menggunakan modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad (PGMOL) iaitu badan pengadil bebas EPL sebagai rujukan bagi memantapkan sistem pengadilan tempatan.
Persetujuan itu dicapai selepas MFL bersama FAM mengadakan pertemuan dengan PGMOL di London semalam.
“PMOM ditubuhkan hasil modul daripada PGMOL, yang mana MFL akan mewujudkan program secukupnya untuk melahirkan pengadil profesional.
“Modul yang dimaksudkan adalah pembangunan akar umbi, proses pelantikan pengadil, selok-belok badan bebas pengadil beroperasi dan sebagainya.
“Kami perlu membuat penilaian dengan lebih teliti dan akan menilai pengadil dalam Liga M.
“Mereka yang layak sahaja akan ditawar kontrak untuk bergelar pengadil sepenuh nasa bermula Julai ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam sidang akhbar menerusi video yang berlintas langsung dari London hari ini.
Menurut Kevin, penswastaan pengadil menerusi modul yang digunakan PGMOL di England bukan sahaja meletakkan penanda aras yang lebih baik sebaliknya menjadi platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pengadil tempatan berkualiti.
Kevin bersama FAM yang diwakili Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam, Pengerusi Pengadil, Asisten Komisioner (ACP) Md Dali Wahid, Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha mengadakan perjumpaan dengan PGMOL.
Dalam perkembangan sama, Yusoff berkata, ini adalah langkah proaktif FAM dan MFL dalam meningkatkan mutu pengadilan dalam Liga M selepas kerap menjadi sasaran kritikan.
“Mutu pengadilan Liga M kerap dikritik dan sebab itulah kami berusaha mencari jalan untuk meningkatkan kualitinya,” kata Yusoff.










