KOTA BHARU 21 Jan. – Hanya untuk mencari ayah, dua beradik perempuan berusia sembilan dan 12 tahun telah memecahkan tabung untuk ‘keluar’ dari rumah mereka di Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh dekat sini semalam.
Nur Fatihah Najwa Seman, 12, dan Siti Nur Insyirah, 9, keluar dari rumah mereka pada pukul 4 petang dan sehingga kini masih belum ditemui.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ayah kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut merupakan seorang warga Thailand dan kini dipercayai berada di kampung halamannya di negara tersebut.
Beliau berkata, dua beradik yang belajar di Sekolah Kebangsaan Long Ghafar itu dikatakan telah memecahkan tabungnya untuk mengambil wang di antara RM30 sehingga RM40 sebagai bekalan.

“Kejadian ini hanya disedari oleh ibunya yang berusia 33 tahun sebaik dia pulang ke rumah. Dia tampil membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian pada pukul 12.41 tengah malam tadi.
“Susulan itu, kita akan membuat siasatan lanjut berhubung kehilangan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis amanat, dialog dan pemeriksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.
Kehilangan dua kanak-kanak itu viral di laman sosial Facebook sejak semalam selepas ibunya, Nazimah Abdullah memuat naik hantaran serta gambar mereka bagi meminta bantuan orang ramai.
Hasanudin berkata, ini merupakan kejadian kedua selepas kali pertama Nur Fatihah Najwa dan Siti Nur Insyirah keluar daripada rumah untuk mencari ayahnya kira-kira dua minggu lalu.
“Kanak-kanak ini bagaimanapun ditemukan oleh orang kampung sebelum dihantar pulang kepada ibu mereka.
“Kedua ibu bapa dua beradik itu belum berpisah dan dipercayai tidak tinggal sebumbung sejak tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










