KUALA LUMPUR 19 Jan. – Harapan untuk menyaksikan perseorangan bebas negara, Liew Daren melangkah ke saingan akhir kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia Super 500 Malaysia Masters tidak kesampaian selepas dia menarik diri daripada aksi separuh akhir selepas mengalami kecederaan tapak kaki kiri.
Pemain berusia 31 tahun itu dijadual berdepan pilihan keempat dari Korea Selatan, Son Wan Ho dalam aksi hari ini di Axiata Arena, di sini tetapi terpaksa akur dengan situasi semasa yang dihadapinya.
Dia memberitahu, kecederaan itu berlaku semalam ketika menyingkirkan pilihan kedua dari China, Shi Yuqi namun ketika perlawanan berlangsung, dia sama sekali tidak berasa sakit.
Bagaimanapun, segalanya berubah pagi ini apabila dia tidak mampu untuk memijak kerana berasa sangat sakit.
“Saya memang mahu main hari ini, tetapi waktu saya memanaskan badan di sini, saya tidak boleh teruskan kerana sangat sakit. Jadi doktor keluarkan surat untuk beri kebenaran saya tarik diri.
“Saya tidak pasti akan beraksi atau tidak di Indonesia Masters, esok tetapi kalau tidak sertai kejohanan itu, saya akan bertemu dengan doktor Isnin ini untuk melihat keadaan sebenar kecederaan saya.
“Saya memohon maaf kepada semua peminat yang hadir hari ini kerana saya terpaksa menarik diri kerana kecederaan ini tetapi saya harap ramai lagi pemain Malaysia akan layak ke final, esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE










