Cari persamaan, abaikan perbezaan - Utusan Malaysia

Cari persamaan, abaikan perbezaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“HANYA kita berdua kekal sampai tua,

Bagai bulan di pagari bintang tetap bersama,

Hanya kita berdua kekal sampai tua,

Walau gila dibuatnya,

Aku sayang padanya.”

Terngiang-ngiang lagu nyanyian penyanyi terkemuka, Faizal Tahir bertajuk Ragaman yang dikaitkan dengan realiti alam berkahwin.

Bait-bait lagu tersebut jelas menyatakan walau bagaimana erat kasih dan sayang yang dipupuk, pasti sesekali dilanda badai.

Dalam melayari bahtera rumah tangga, kadang-kadang terasa bahagia dan ada masanya terasa seperti tidak dihargai ekoran kesibukan pasangan. Ini secara tidak langsung menyebabkan manis cinta yang dipupuk sejak zaman bercinta bertukar menjadi tawar.

Malah, disebabkan penat mencari rezeki dan membesarkan anak selain tekanan ekonomi keluarga yang sering dipendam menjadi punca pertelingkahan serta pergolakan dalam sesebuah perkahwinan.

Bukan itu sahaja, letih yang melampau juga menjadi antara punca kurangnya interaksi dalam hubungan serta tiada 
lagi masa dihabiskan bersama untuk bercuti atau makan di luar.

Hal ini walaupun nampak remeh, tetapi jika pasangan mula berasa seperti diabaikan, lambat laun akan menggugat keharmonian rumah tangga seperti perselisihan faham, hilang rasa hormat dan pergaduhan yang membawa kepada keretakan rumah tangga.

Pendakwah bebas, Mohd. Safwan Syafiq Mohd. Idris berkata, perkahwinan merupakan satu daripada komitmen dan sunah Rasulullah yang terdapat di dalamnya kemanisan hidup dan pada masa sama mengajar serta membimbing seseorang berkaitan tanggungjawab yang Allah pinjamkan.

Walaupun perselisihan faham merupakan sebahagian warna-warni dalam perkahwinan, namun jika tidak diselesaikan dengan cara yang baik boleh menjadi racun yang membunuh kebahagiaan suami dan isteri.

Katanya, antara perkara yang kerap berlaku adalah apabila kurangnya komunikasi dalam hubungan dan tiada persefahaman dalam hidup berkeluarga menjadi punca runtuhnya sebuah mahligai yang dibina.

Justeru, beliau meminta suami dan isteri membuka mata terhadap setiap kebaikan yang dilakukan oleh pasangan agar mereka sentiasa berasa dihargai.

Memberi perhatian, kasih sayang dan penghargaan tidak semestinya ditunjukkan dengan hadiah mewah atau wang ringgit, sebaliknya cukup sekadar menjadi pendengar terhadap rintihan mereka, membantu meringankan kerja rumah dan meluangkan masa bersama.

“Islam itu indah, setiap daripada pasangan memiliki tanggungjawab tersendiri baik suami ataupun isteri. Walaupun begitu, tidak bermakna apabila suami atau isteri menjalankan tanggungjawab, pasangan mereka hanya tutup sebelah mata dan tidak mengambil tahu tentang perkara tersebut.

“Apabila isteri memasak, apalah salahnya suami membantu untuk kemaskan dapur seperti basuh pinggan atau menjaga anak. Begitu juga isteri, meskipun menyediakan nafkah adalah tanggungjawab suami tetapi tidak salah seandainya menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan demi meringankan beban suami. Bukankah lebih indah kehidupan bertolak ansur sedemikian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN