Bersatu lebih utamakan calon tempatan - Utusan Malaysia

Bersatu lebih utamakan calon tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih mengutamakan calon tempatan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Ahli Majlis Tertingginya, Abu Bakar Yahya berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi selepas pimpinan Bersatu Selangor menghantar senarai calon yang sesuai.

“Sebaik-baiknya biarlah calon tempatan, yang boleh diterima masyarakat. Untuk jadi calon kena bersedih, kenal masyarakat tempatan serta boleh turun padang pada bila-bila masa.

“Calon yang menang itu akan menjadi wakil rakyat yang nanti kena turun padang dan bukan duduk rumah dan tidur, susahlah rakyat kalau dapat wakil rakyat seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Piala Perdana Menteri Ketujuh di Dewan Bola Tampar Majlis Perbandaran Shah Alam di Seksyen 4, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bola Tampar Selangor, Datuk Hong Yee Keong.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, sesiapa sahaja berhak melobi untuk menjadi calon dan menyeru semua ahli parti itu menyokong siapa sahaja yang dipilih menjadi calon untuk bertanding di PRK DUN Semenyih.

“Siapa hendak melobi, melobilah tiada masalah. Tetapi jika gagal menjadi calon, janganlah memberontak kerana apabila memberontak parti akan binasa.

“Perjuangan parti perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi,” tegasnya. 

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Bakhtiar, mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×