KUALA TERENGGANU 1 Jan. – Jabatan Kesihatan negeri belum mengeluarkan kompaun berhubung kesalahan merokok di premis makanan di negeri ini.
Pengarahnya, Dr. Mohd. Jusoh berkata, pemantauan dan penguatkuasaan tegas akan terus dijalankan oleh 283 pegawai ke atas 6,239 premis makanan termasuk restoran dan gerai makan bagi memastikan setiap individu mematuhi peraturan ditetapkan.
Selain itu, katanya, taklimat kepada pengusaha premis makanan juga akan terus dilaksanakan supaya arahan itu kekal dipatuhi.
“Taklimat kepada pengusaha premis tempat makan telah dilaksanakan di seluruh daerah melibatkan 667 pengusaha bermula bulan Oktober tahun lalu.
“Sesi ini akan dilakukan secara berterusan dan kita juga telah mengedar 4,000 risalah berkaitan larangan ini di samping turut mengeluarkan notis amaran kepada perokok yang merokok dalam mana-mana tempat makan,” katanya, di sini hari ini.
Bermula hari ini, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.
Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok. – UTUSAN ONLINE










