KUALA LUMPUR 1 Jan. – Menjelang sesi persekolahan 2019 yang akan bermula esok, segala persiapan dan barang keperluan persekolahan anak-anak pasti telah disediakan dengan teratur oleh ibu bapa.
Pelbagai cara dan tips digunakan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan keluarga. Ada yang membuat pembelian lebih awal semasa jualan murah dan promosi, secara beransur-ansur dan ada juga yang membeli pada saat-saat akhir,
Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini mendapati, lot-lot kedai yang menjual barang-barang kelengkapan sekolah penuh dibanjiri pelanggan walaupun pada hari terakhir cuti persekolahan.
Suri rumah, Norliana Ismail, 33, berkata, dia terpaksa menunggu ke saat akhir cuti sekolah untuk menunggu suami yang baharu mendapat cuti.
“Biasanya penghujung cuti sekolah ada banyak promosi ditawarkan. Bagi pakaian sekolah anak-anak, saya memang mengutamakan kualiti kain dan membandingkan harga terlebih dahulu,” katanya.
Tambah Norliana, bajet kelengkapan sekolah bagi dua orang anaknya pada tahun ini berjumlah kira-kira RM350 setiap seorang dan membeli hanya mengikut keperluan sahaja.
Pensyarah, Norhafiza Hashim, 35, pula berkata, dia membuat perbandingan di beberapa pusat beli-belah untuk mendapatkan harga yang murah dan berbaloi untuk dibeli.
“Saya membeli baju sekolah anak-anak yang agak mahal pada tahun lalu namun pada tahun ini saya tekad untuk membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebagai langkah penjimatan,” katanya.
Sementara itu, penolong pengurus, Mohamed Zain Ibrahim, 42, berkata, perbelanjaan membeli kelengkapan sekolah anak-anak memerlukan perancangan yang teliti kerana belanja yang agak besar namun tidak perlu berlebihan semata-mata mengikut kemahuan anak.
“Mereka sudah boleh faham jika barangan yang masih elok tidak perlu dibeli. Saya selalu berpesan kepada mereka bahawa fokus kepada pembelajaran adalah yang paling utama,” katanya.
Habis










