KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui terkesan dengan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung pengkelasan pemain-pemain kebangsaan dalam Sistem Berperingkat (Sistem Tiering) yang diperkenalkan tahun ini.
Hanya jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi satu-satunya pemain diletakkan dalam Peringkat Pertama yang memfokuskan kejohanan serta temasya utama termasuk Sukan Olimpik, sekali gus menimbulkan kekeliruan pihak pengurusan BAM terhadap keputusan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, pihaknya akan mencadangkan lebih banyak nama kepada MSN supaya dipertimbangkan dan dimasukkan dalam Peringkat Pertama.
“Setakat ini, hanya seorang pemain yang berada dalam Peringkat Pertama, jadi kami akan cuba berunding dengan MSN supaya memasukkan lebih ramai pemain dalam kelas tersebut. Saya harap MSN boleh masukkan lima pemain lagi ke Peringkat Pertama,” katanya selepas mesyuarat C&T di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. – K! ONLINE










