Anggota polis cedera ringan dilanggar lari - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera ringan dilanggar lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera ringan selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang menjalankan pemeriksaan terhadap dua penunggang motosikal di Jalan Besar Desa Ria, Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Koperal Mohammad Firdaus Alias, 30, cedera di tangan dan kaki manakala seorang lagi anggota, Lans Koperal Muhammad Zulfadzli Rahim tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua lelaki yang sedang diperiksa anggota berkenaan turut mengalami kecederaan, namun meninggalkan tempat kejadian sebaik sahaja seorang daripada anggota cuba mengejar kereta yang melanggar mereka.

“Dua anggota terbabit bertindak menahan dua lelaki menaiki Honda EX5 tersebut kerana tidak memakai topi keledar serta memasang lampu ‘beacon’.

“Namun, ketika anggota terbabit sedang turun dari motosikalnya, sebuah kereta yang dipercayai dipandu laju merempuh anggota dan dua lelaki yang ditahan dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan anggota terbabit cedera ringan di bahagian kaki dan tangan manakala motosikal dinaiki anggota URB berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang dan sisi kanan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN