SUBANG JAYA – Superintendan Kolaborasi Domestik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Superintendan Amihizam Abdul Syukor dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya baharu menggantikan Superintendan Risikin Satiman berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini.
Menurut Muhammad Azlin, pihak IPD Subang Jaya mengalu-alukan kehadiran Superintendan Amihizam serta berterima kasih kepada Superintendan Risikin Satiman yang telah berkhidmat sebagai timbalannya selama tiga bulan dan dua hari.
“Pada hari ini kita bersama meraikan kehadiran Timbalan Ketua Polis baharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Ketua Polis lama yang juga akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Subang Jaya baharu pada 30 Januari ini.
“Kejayaan IPD Subang Jaya telah terbukti melalui keberkesanan pencegahan jenayah serta jumlah pertuduhan jenayah yang tertinggi di Selangor jadi saya percaya IPD Subang Jaya akan berterusan melangkah ke hadapan dalam pelbagai bidang,” katanya selepas menyaksikan serah terima tugas tersebut di sini hari ini.
Sementara itu, Amihizam berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab baru itu dengan berusaha memberi khidmat yang terbaik dan memberikan fokus kepada memperkuatkan komuniti bagi membantu dalam pencegahan jenayah.
“Peranan komuniti adalah penting dalam mencegah aktiviti jenayah tambahan pula dengan bilangan anggota polis yang tidak ramai kerjasama dengan anggota komuniti adalah amat diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Amihizam yang dilahirkan di Selangor telah berkhidmat selama 25 tahun sebagai anggota polis dan sebelum ini telah ditugaskan di Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik di Sarawak.
Jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah sebagai Superintendan Kolaborasi Domestik, Kepolisan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman selama dua tahun sebelum beliau menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera pada tahun 2018. – K! ONLINE










