Al-Sultan Abdullah ceriakan pengantin bisu - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah ceriakan pengantin bisu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 26 Jan. – Sepasang pengantin baharu yang pekak dan bisu tidak menyangka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang menjadi tumpuan seluruh negara ketika ini muncul pada majlis me­raikan perkahwinan mereka di Dewan Mentiga Perkampungan Sungai Isap 2 di sini hari ini.

Tentunya menjadi suatu ke­nangan terindah buat Mohd. Hafizan Zaini, 27, dan Siti Norbaya Muhammad Hoe, 24, apabila Sultan Abdullah yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Keenam dan bakal memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkenan berangkat menyerikan majlis berkenaan.

Tanpa terlalu mengikut protokol, Al-Sultan Abdullah tiba di dewan berkenaan dengan berjalan kira-kira 500 meter pada pukul 2.30 petang selepas menunaikan solat zuhur berjemaah di Masjid Al-Falah dan mengunjungi rumah baharu sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di situ.

Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit di situ terma­suk bergambar dengan pasangan raja sehari itu, bertemu ahli keluarga mereka serta melayan permintaan tetamu untuk bersalaman dan berswafoto dengannya.

Siti Norbaya yang berkenalan dengan suaminya dalam kem sukan di sini pada 2015 berkata, dia terkejut dan teruja apabila dimaklumkan Sultan Pahang sudi berangkat menghadiri majlis perkahwinannya dengan menyifatkan ia adalah saat-saat paling menggembirakan dalam hidup.

Menurutnya, dia dan suaminya cukup bertuah dan ia pasti menjadi detik yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidup mereka.

“Saya terkejut dan teruja apabila dimaklumkan Sultan Abdullah berkenan singgah di majlis meraikan perkahwinan kami kira-kira tiga jam sebelum ketibaan baginda.

“Lazimnya saya dan ahli keluarga ke istana Tuanku setiap kali Hari Raya Aidilfitri tetapi kali ini baginda pula yang muncul dalam majlis perkahwinan saya,” katanya dengan menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh ibu saudaranya, Aida Syafizaz Sulaiman ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Sementara itu, ketika mencemar duli melawat rumah baharu Wan Noorazlina Wan Hamid, 56, yang merupakan mangsa kebakaran kira-kira setahun lalu tidak jauh dari situ, Sultan Abdullah dihidangkan dengan menu gulai lemak dan opor ga­ding oleh keluarga berkenaan.

Menurut Wan Noorazlina, dia menghidangkan menu istimewa itu kerana pernah ‘berjanji’ dengan Sultan Abdullah untuk menyediakannya ketika baginda melawat keadaan keluarganya dua hari selepas kejadian kebakaran tersebut pada 16 Januari tahun lepas.

“Dalam lawatan itu, baginda terpandang pokok nangka di depan rumah dan saya berta­nyakan sama ada baginda mahu makan masak lemak nangka. Dalam nada bergurau baginda bertanyakan saya kembali sama ada pandai memasaknya.

“Dengan kesudian baginda melawat kami hari ini, saya memasak gulai nangka sebagai hidangan tengah hari,” katanya yang merupakan peniaga warung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN