Ada rahmat di sebalik tular alamat pelik - Utusan Malaysia

Ada rahmat di sebalik tular alamat pelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Beberapa hari lalu, nama Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18, disebut-sebut netizen selepas alamat pelik Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang yang tertera pada kiriman bungkusan menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui gadis yang kerap membeli vitamin dan ubat-ubatan melalui platform aplikasi Shopee tersebut sebenarnya menghidap penyakit leukimia sejak berusia 15 tahun.

“Selepas kisah di sebalik alamat pelik itu disiarkan akhbar, ramai pihak menghubungi saya menggunakan nombor telefon yang tular di media sosial untuk mengetahui cerita sebenar dan apa yang saya beli di Shopee.

“Apabila diberitahu saya membeli vitamin untuk kesihatan, mereka bertanya mengenai penyakit yang saya hidapi. Saya beritahu, saya menghidap leukimia,” katanya semasa ditemui pemberita di Kampung Jerantut Feri dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan Nur Rabiatul Adawiyyah terkilan apabila nombor telefonnya yang tertera di atas sampul plastik bungkusan didedahkan netizen sehingga menyebabkan dia tidak menang tangan untuk melayan setiap panggilan daripada orang tidak dikenali.

Mengulas hikmah di sebalik kejadian tular itu, Nur Rabiatul Adawiyyah berkata, dia kini beryukur kerana semakin ramai pihak menyatakan kesudian untuk membantu meringankan kos rawatan yang ditanggungnya ketika ini.

“Semasa terpaksa menjawab panggilan daripada orang tidak dikenali disebabkan gambar yang viral (tular) itu, ada juga (beberapa pemanggil) yang meminta nombor akaun bank untuk memberi sumbangan.

“Alhamdulillah, bantuan dari Allah datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Saya bersyukur kerana sumbangan daripada orang ramai dapat meringankan beban kos rawatan bagi penyakit saya,” katanya.

Ujar gadis itu lagi, dia menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan baru selesai menjalani kimoterapi serta perlu menghadiri pemeriksaan susulan pada kekerapan dua kali sebulan.

“Saya juga ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan wang itu digunakan sepenuhnya untuk menjalani rawatan selama ini,” ujarnya yang terpaksa berhenti sekolah sejak menghidap penyakit tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN