JOHOR BAHRU 17 Jan. – Sebanyak 60 pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 di negeri ini memperoleh peringkat Mumtaz iaitu 7.84 peratus daripada jumlah keseluruhan calon seramai 892.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, terdapat peningkatan bagi perbandingan keseluruhan antara tahun 2018 dan tahun sebelumnya.
Katanya, calon yang mendapat Mumtaz meningkat sebanyak 1.02 peratus iaitu sebanyak 19 calon berbanding 12 pada tahun sebelumnya.
“Yang mendapat Jayid Jiddan pula meningkat 2.07 peratus kepada 57 calon berbanding 38 pada tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhannya keputusan STAM 2018 ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian tahun 2017,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 di Madrasah Alattas Alarabiah di Ulu Tiram, di sini hari ini.
STAM adalah sijil yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan bermula pada 1999 yang dilaksanakan dengan kerjasama Al Azhar Al-Syarif, Mesir.
Aminolhuda berkata, pelajar yang layak mendapat sijil STAM juga menunjukkan peningkatan 0.76 peratus iaitu sebanyak 171 orang pada 2018 berbanding 125 orang pada 2017.
“Pencapaian Gred Purata Negeri bagi STAM 2018 menunjukkan peningkatan 0.06 mata iaitu 3.15 mata bagi tahun 2018 berbanding 3.21 mata tahun sebelumnya,” ujarnya.










