KUALA LUMPUR – Sekumpulan warga emas yang sedang leka melakukan pertaruhan judi mahjong diberkas di sebuah premis di Taman Miharja di sini pada Sabtu lalu.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM31,000 dalam sebuah bilik di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, bertindak atas aduan orang awam, pihak polis menyerbu premis berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan warga emas untuk berjudi jenis mahjong.
“Seramai 20 individu terdiri daripada 11 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 50 hingga 79 tahun diberkas dalan serbuan berkenaan. Selain itu, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,000 dan pelbagai jenis cip yang digunakan untuk pertaruhan.
“Dalam serbuan yang sama, polis merampas 14 paket dadah jenis syabu, dua paket dadah heroin, 10 biji pil eramin 5 dan dua biji pil ekstasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Menurutnya lagi, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











