BAITULMuQadDIS 20 Dis. – Selepas berdepan penentangan demi penentangan, tunjuk perasaan dan demonstrasi, Parlimen Israel atau Knesset bertindak meluluskan undang-undang yang memberi kuasa ‘penempatan secara paksa’ terhadap ahli keluarga penduduk Palestin yang dikaitkan dengan serangan anti-Israel.
Rang undang-undang itu membenarkan rejim Zionis mengusir mana-mana ahli keluarga yang terlibat dalam serangan atau cubaan menyerang Israel, dari Tebing Barat ke satu lokasi lain dalam tempoh tujuh hari.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Knesset, usul tersebut diluluskan selepas mendapat sokongan undi 69-38.
PressTV melaporkan, sesi perbahasan di Knesset itu dikatakan ‘panas’ apabila salah seorang ahli Parlimen Arab diusir keluar kerana mengganggu persidangan.
Rang undang-undang itu kini sedang dibahaskan untuk sesi pengundian di peringkat Jawatankuasa Pertahanan Parlimen dan Antarabangsa untuk bacaan akhir.
Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennett berkata, sokongan undi dalam skala besar itu menggambarkan langkah kerajaan yang penting dalam terus memastikan keamanan Israel.
Kementerian Hal Ehwal Perundangan dan Kehakiman sebelum ini menyatakan kekhuatiran yang usul itu bakal mewujudkan perlanggaran undang-undang antarabangsa dan Israel.
Dalam pada itu, satu lagi undang-undang kontroversi berhubung status ‘menghalalkan’ penempatan haram Yahudi juga dibentangkan untuk bacaan awal.
Pada minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi jaminan akan berusaha untuk ‘menghalalkan’ ribuan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.










