BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang wanita warga Thailand kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 2.2 kilogram (kg) ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini Ahad lalu.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan selepas pegawai kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang menemui dua bungkusan berisi dadah di dalam beg pakaian miliknya kira-kira pukul 1.24 petang.
“Mesin pengimbas bagasi di laluan pejalan kaki merakamkan imej yang meragukan dan pemeriksaan menemui dua bungkusan berbalut pita pelekat berwarna coklat.
“Dua bungkusan tersebut dilitupi oleh kertas keras berwarna kelabu di bahagian tepi ruang dalam beg tersebut,” katanya pada sidang akhbar di JKDM Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas dua bungkusan itu menemui serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 2.2 kg yang dianggarkan bernilai RM121,000. – K! ONLINE










