BARU seminggu, nampaknya rakan-rakan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) telah ‘ditohmah’ oleh individu-individu yang telah dikenal pasti identitinya.
Tidak apa. Kami tidak akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Ini supaya orang ramai boleh menilai sendiri manusia jenis apakah penulis sedemikian. Kita doakan mereka agar berubah dan insaf. Doa orang yang teraniaya lebih berbisa daripada berbalas dendam.
Memang agak pedas juga tohmahan yang dilemparkan. Biasanya sebagai warga Utusan, bila orang lempar, kami guna Silat Tepilak yang diperturunkan dari mahaguru Pasir Berdengung iaitu Silat Tepis dan Elak. Jarang sekali kami dibenarkan bergerak dalam bentuk ‘menyerang balas.’
Tetapi oleh kerana serangan ini terkena pula kepada sahabat-sahabat yang mengambil VSS iaitu berstatus ‘bekas warga Utusan’ maka mereka tiada platform sewajarnya untuk membela diri, selain WhatsApp dan Facebook.
Atas semangat setiakawan, Merrepak hari ini menerangkan perkara-perkara berkaitan VSS Kumpulan Utusan, agar tiada lagi tuduhan-tuduhan liar disumpit kepada sahabat sekalian.
1. Sukarela berhenti
Skim VSS telah dibuka tawaran kepada semua lapisan pekerja (across the board) daripada pengurus, eksekutif sehinggalah pekerja am syarikat. Tiada sesiapa ditekan, tiada sesiapa dipaksa.
Logiknya ialah katakanlah jika seorang pekerja ‘diajak’ menolak VSS, tiba-tiba 12 bulan lagi syarikat betul-betul muflis, pastinya orang yang mengajak itu menanggung beban dipersalahkan. Jadi tidak mungkin ada siapa mahu menekan, memaksa atau mengajak.
Setiap individu bebas mendapatkan nasihat dan pandangan daripada sesiapa juga sepanjang tempoh berfikir. Ada yang cukup kreatif, pantas mencari peluang kerja di tempat lain dan mereka ini yang terus melapor diri di tempat kerja baharu pada 3 Disember lalu.
Hari ini, saya Merrepak bukan sebagai majikan atau mewakili pengurusan. Sekadar menceritakan kisah benar bahawa tawaran VSS ini saya turut teliti dan nilai, terutama daripada aspek pampasan.
Pada masa yang sama, dengan akses kepada Bursa Malaysia, maklumat mengenai syarikat dapat difahami untuk membentuk suatu bentuk keyakinan bahawa ‘esok masih ada’. Tiada siapa datang berkempen atau memaksa saya.
Fakta sahih ialah keputusan berhenti menerusi VSS itu dibuat secara sukarela oleh sahabat sekalian. Mereka bukan dibuang. Bukan diberhentikan. Bukan dipecat. Bukan dianiaya. Mereka sebenarnya, menarik diri demi berkorban untuk kesinambungan hayat Utusan.
2. MSS
MSS adalah Skim Pemisahan Bersama yang secara umumnya bermaksud sudah masuk tahap kedua usaha syarikat mahu kuruskan badan dan tahap ini, bukan suka sama suka lagi tetapi paksa keluar. Apa yang berlaku di Utusan adalah VSS, sukarela keluar.
Mungkin yang menjadi sensasi sebab inilah kali pertama Utusan mengadakan VSS, dan dalam jumlah yang besar. Maka ini menjadi ramuan enak untuk dijadikan bahan tohmahan.
3. Situasi semasa
Semua tahu betapa industri media negara berdepan dengan gerhana bulan dan matahari yang berlaku serentak. Masalah kewangan bukan sahaja melanda Kumpulan Utusan tetapi kesemua media lain. Pada masa ini, TV3 mahu mengekalkan hanya 1,500 warga kerja daripada 3,400 kakitangannya, manakala The Star melaksanakan MSS ke atas 128 kakitangan, setelah beberapa proses VSS sejak tahun lalu.
Bezanya, perhatian orang ramai lebih kepada Utusan kerana dua faktor iaitu pertama, golongan bersimpati kerana mengetahui sejarah asal penubuhan Utusan dan menghargai peranannya sebagai suara rakyat. Berbeza dengan akhbar pesaing lain, Utusan Melayu lahir pada 1939 bukan atas faktor komersial tetapi sebagai wadah menentang penjajahan British. Fakta ini tersemat rapi dalam jiwa warga Utusan sampai bila-bila.
Golongan kedua ialah yang membenci Utusan kerana dilihat mengutamakan UMNO, sebagai pemegang saham utama syarikat. Golongan ini mahu membalas dendam, mahu Utusan ditutup sama sekali. Ini kita faham, lebih-lebih lagi selepas UMNO ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.
Namun, dari sudut kewartawanan, situasi pasca PRU-14 ini juga disifatkan bakal membantu Utusan kembali kepada landasan asalnya dan tidak lagi sengal sebelah bahu sahaja.
Pernyataan positif daripada bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keberadaan Utusan, juga menenangkan sedikit jiwa.
4. Hala tuju Utusan
Dari sudut kewartawanan juga, amat tidak wajar jika pemberitaan Utusan dikerah memberat kepada kerajaan PH sebagaimana zaman BN dahulu. Kalau ia berlaku, maka tiada apa-apa perubahan. Sama sajalah. Pada zaman digital ini, corak penerimaan dan pemikiran rakyat bersenjata telefon pintar 24 jam ini, tidak mengizinkan akhbar arus perdana berterusan begitu.
Oleh itu, berilah peluang kepada kami untuk menjadi akhbar rakyat yang mengetengahkan berita yang mengutarakan isu-isu rakyat, yang boleh menjadi panduan kepada kerajaan untuk mendengar rungutan atau aduan rakyat.
Pasukan Editorial yang ada hari ini, berazam teguh memacu Utusan menjadi suara kepada rakyat.










