KUALA LUMPUR 18 Dis. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas-tugas Presiden parti bagi menyelamatkan UMNO daripada terus berpecah dan juga demi penyatuan ahlinya.
Presiden UMNO itu berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan UMNO bangkit kembali terutama ketika ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pelbagai tekanan agar meninggalkan parti itu.
“UMNO wajib diselamatkan daripada rebah.
“Akar umbi amat mengharapkan pimpinan UMNO bersatu hati untuk menterjemahkan hala tuju UMNO sesuai dengan slogan baharu ‘UMNO Bangkit’,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO boleh bangkit dan bingkas bangun semula jika perpaduan terus dimantapkan dan bersatu pemikiran dalam sebuah pasukan parti yang diperkasakan.
Tambahnya, beliau merasai keresahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan demi tuduhan seperti yang dialaminya.
Video ihsan UMNO Online
“Demi keutuhan UMNO dan demi kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta UMNO bahagian-bahagian, langkah-langkah menyelamatkan situasi tersebut harus dilakukan segera
“Berdasarkan kepada kemelut yang dihadapi oleh parti hari ini, saya mengambil keputusan untuk memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan kepimpinan di peringkat akar umbi fokus memperkukuhkan parti.
“Saya menyeru supaya tiada lagi tindakan keluar parti daripada ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN selepas ini,” katanya.










