SERDANG 21 Dis. – Kegiatan sindiket perjudian online yang berselindung di sebalik kawasan perumahan elit di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini sejak sebulan lalu terbongkar apabila markas sindiket itu diserbu polis, semalam.
Dalam serbuan pada pukul 4.10 petang itu, sebanyak 32 individu termasuk tiga wanita warga China berusia antara 20 dan 52 tahun yang bekerja dengan sindiket sebagai pengendali pertaruhan perjudian online turut ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, selain dijadikan pusat operasi perjudian online, banglo empat tingkat yang diserbu itu juga dijadikan hostel untuk kesemua tangkapan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut menjalankan aktiviti pertaruhan judi online menyasarkan pemain judi dari luar negara terutamanya dari Hong Kong, China dan Taiwan.
“Hasil semakan, kita dapati sindiket perjudian online ini telah menerima pertaruhan berjumlah RM15 juta dalam tempoh sebulan operasi mereka di sini.
“Kita juga merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu termasuk beberapa telefon bimbit, 16 set komputer dan tiga modem,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Selain itu, Fadzil memaklumkan, serbuan itu turut membawa kepada penemuan dua lelaki warga China berusia lingkungan 20-an yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Kita menjumpai kedua-dua mangsa dengan kesan dera di tangan dan muka. Mereka juga didapati dirantai dan dikurung dalam sebuah bilik di tingkat empat banglo tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mereka ditawarkan pekerjaan di negara ini namun ditipu dan dipaksa bekerja sebagai operator perjudian online oleh sindiket,” ujarnya.
Tambah Fadzil, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesan ketua sindiket, pemilik banglo dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam operasi perjudian online ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










