KUALA LUMPUR 16 Dis. – Pertengkaran sekumpulan lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Jernih 8/1, Seksyen 8, Petaling Jaya dekat sini pagi ini bertukar menjadi kes pembunuhan apabila pengurus premis tersebut ditemukan maut.
Dalam kejadian kira-kira 6.38 pagi itu, mangsa maut akibat mengalami kecederaan selepas diserang beberapa lelaki bersenjatakan parang ketika sedang berdiri di luar pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebelum kejadian itu telah berlaku pergaduhan awal antara sekumpulan lelaki di hadapan premis berkenaan kira-kira pukul 5.32 pagi.
Ujarnya, kira-kira sejam kemudian telah datang empat kenderaan di hadapan pusat hiburan berkenaan sebelum beberapa lelaki bersenjatakan parang keluar dari kenderaan tersebut dan bertindak menyerang mangsa yang ketika itu berada di luar premis.
“Dalam keadaan mangsa yang parah, dia sempat melarikan diri masuk ke dalam premis berkenaan untuk menyelamatkan diri manakala kesemua suspek meninggalkan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zani memberitahu, hasil risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan pihaknya seterusnya menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan.
Jelasnya, hasil penahanan itu, sebanyak empat buah kereta turut dirampas kerana disyaki dinaiki oleh kumpulan lelaki terbabit ketika kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut menemukan tiga bilah parang dalam satu daripada kereta milik suspek yang ditahan. Siasatan masih diteruskan berhubung motif sebenar kejadian dan usaha mengesan baki suspek sedang dijalankan,” jelasnya.
Tambah Mohd. Zani, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.










