PUTRAJAYA 5 Dis.- Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tiba di ibu pejabat SPRM di sini hari ini pada pukul 10.25 pagi.
Beliau yang memakai sut hitam dilihat tiba dengan menaiki kenderaan Nissan Xtrail berwarna hitam kemudian sempat melambai tangan sebelum masuk ke pejabat SPRM.
Menurut sumber, Dzulkifli, 50, diminta hadir bagi membantu siasatan dakwaan berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau merupakan antara individu pertama mengetuai siasatan skandal 1MDB dan SRC International menjadi saksi utama selepas pihak SPRM meneliti dokumen asal laporan akhir audit 1MDB untuk dibandingkan dengan draf akhir dikeluarkan Jabatan Audit Negara.
Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.
Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.
Menurut Madinah, antara individu yang turut terlibat dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.
Turut terbabit, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.
Pada 14 Mei lalu, Dzulkifli memohon untuk menamatkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menerusi satu surat rasmi kepada Ali dan beliau kemudiannya kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara.
Beliau dilantik sebagai ‘orang nombor satu’ SPRM bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos 2016, sebelum ini adalah Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara.-UTUSAN ONLINE










