Usah ‘sakiti, ludah’ malaikat - Utusan Malaysia

Usah ‘sakiti, ludah’ malaikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DIA tu baik macam malaikat! Kalau meninggal dunia, pasti kuburnya berbau harum.”

Itu antara ekspresi pernah saya dengar ketika seorang rakan menggambarkan sikap kawannya yang sangat tinggi nilai akhlak dan budinya. Masakan sama antara manusia dan malaikat! Manusia terdedah kepada kesilapan manakala malaikat sudah diwartakan oleh Allah bebas silap atau dosa.

Sebagaimana firman Allah ertinya: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada (azab) neraka yang bahan bakarnya (terdiri daripada) manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang kasar (layanannya); mereka tidak menderhakai Allah dalam segala apa diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (al-Tahrim 66:6).

Walaubagaimanapun, itu hanya mainan bahasa yang sepatutnya difahami secara betul mengikut konteks si penutur, tetapi apakan daya, tahap kefahaman manusia selalu berbeza. Bukan setakat ‘baik seperti malaikat’, manusia juga menyebut ‘cantik seperti malaikat’.

Bagaimana mereka tahu rupa paras malaikat sangat menawan sedangkan kelibat malaikat pun tidak pernah dilihat? Inilah antara keistimewaan malaikat yang ditanam indah dalam jiwa manusia secara fitrah oleh Allah. Ini juga antara lafaz diucapkan wanita Mesir sejurus melihat rupa tampan Nabi Yusuf a.s. yang luar biasa.

Firman Allah maksudnya: “Maka apabila dia (isteri Aziz Mesir) mendengar cacian mereka (wanita Mesir), dia menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta diberi kepada setiap seorang mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu dia berkata (kepada Yusuf): ‘Keluarlah di hadapan mereka.’ Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: ‘Jauhnya Allah daripada kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!” (Yusuf 12:31).

Para malaikat memang tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi dipercayai dan disenangi semua manusia tanpa mengira agama. Banyak sekali ayat mengisahkan manusia yang kufur daripada umat lampau namun menghormati malaikat. Antaranya:

1. Firaun

Firman Allah maksudnya: “(Firaun berkata lagi) ‘Kalau betul dia (Musa) seorang rasul maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang emas (yang menandakan dia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?” (al-Zukhruf 43:53).

2. Kaum Nabi Nuh a.s.


Firman Allah maksudnya: “Maka ketua yang kafir daripada kaumnya berkata (sesama sendiri): “Orang ini (Nabi Nuh) hanyalah seorang manusia seperti kamu, dia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah dia menurunkan malaikat menjadi rasul-Nya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.” (al-Mu’minun 23:24).

YAHUDI MEMBENCI JIBRIL

Pun begitu, ada manusia pelik seperti orang Yahudi yang membenci serta memusuhi malaikat Jibril. Apabila Rasulullah tiba di Madinah, mereka menemui Baginda untuk bertanya beberapa soalan. Setelah semua soalan itu dijawab tepat, mereka menambah soalan berikut:

Ertinya: “Mereka (orang Yahudi) bertanya lagi, sekarang kamu (Wahai Muhammad) ceritakan kepada kami siapa pembimbingmu dalam kalangan malaikat? Jawapan ini pasti akan menjadi titik penyatuan atau pemisah antara kita. Baginda menjawab: Pelindung dan pembimbingku adalah Jibril, dan tidak ada seorang pun Nabi diutus melainkan dialah yang akan menjadi pembimbingnya. Orang Yahudi lalu menjawab: Jawapan ini menjadi sebab kami berpisah denganmu (menolakmu). Sekiranya pembimbingmu adalah malaikat lain selain Jibril, sudah pasti kami akan ikut dan benarkanmu. Baginda bertanya: Apa sebab yang menghalang kalian daripada membenarkannya (Jibril)?. Yahudi menjawab: dia adalah musuh kami!” -Musnad Ahmad

Lalu Allah menegur kaum Yahudi dengan berfirman maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, mengesahkan kebenaran kitab yang ada di hadapannya (diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang beriman. Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya), memusuhi malaikat-Nya, para rasul-Nya, terutama malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang kafir.” (al-Baqarah 2:97-98).

Sikap Yahudi yang memusuhi Jibril sebenarnya satu contoh keingkaran mereka kepada Rukun Iman. Jika binaan ‘rumah’ iman berdiri tegak atas enam tiang, mencabut satu daripadanya bakal menempah musibah iaitu runtuhnya keseluruhan rumah iman.

Setelah tahu betapa besar pengaruh dan impak iman kepada malaikat, kita perlu menunaikan tanggungjawab kepada para malaikat seperti mengelakkan diri daripada menyakiti mereka. Antaranya adalah:

Bau busuk

  • Sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa yang makan pokok yang tidak elok (baunya) ini (bawang), maka (sebolehnya) jangan dekati masjid kami. Sesungguhnya malaikat terganggu dengan apa yang manusia juga terganggu (baunya tidak elok).” – Riwayat Sahih Muslim

Bagi konteks moden, bau busuk yang sinonim dengan bawang bahkan lebih teruk lagi gangguannya adalah rokok. Ringkasnya boleh dikatakan perokok yang masuk ke dewan solat tanpa mencuci mulut terlebih dahulu tidak disukai malaikat. Awas! Buktikan iman anda tanpa menyakiti mereka.

Meludah malaikat

Sabda Rasulullah maksudnya: “Apabila sesiapa daripada kamu solat, maka janganlah ludah ke arah hadapannya kerana sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Allah selagi dia berada di tempat solatnya. Jangan juga (ludah) ke arah kanannya kerana pada sebelah kanannya ada malaikat. (Jika terpaksa) maka ludahlah ke arah kiri atau di bawah tapak kakinya, lalu ditanamnya (dengan kaki).” – Riwayat Sahih Bukhari dan Muslim

Kewujudan malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah ketika dalam solat. Ini melibatkan solat di kawasan luar seperti atas pasir atau tanah dan bukannya dalam masjid. Tujuan utama arahan timbus kesan ludah bawah tapak kaki adalah untuk mengelakkan terkena orang.

Bagaimana untuk menghormati serta kenali mereka? Sudah pasti dengan mendalami agama dan bukannya ‘meneka perihal makhluk ghaib secara ikut-ikutan’. Semoga kita masuk ke pintu alam ghaib melalui lorong yang benar iaitu membawa ke syurga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN